My Blog List

Tuesday, April 22, 2014

PEMIMPIN MERUPAKAN ROLE MODEL (CONTOH IKUTAN) DALAM SESEBUAH MASYARAKAT SERTA BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP MEREKA YANG BERADA DI BAWAH KEPIMPINANNYA. JELASKAN TANGGUNGJAWAB PEMIMPIN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM DAN KEMUKAKAN EMPAT KRITERIA SEORANG PEMIMPIN BERSERTA CONTOH DARIPADA SIRAH KEPIMPINAN RASULULLAH S.A.W DALAM OPERASI-OPERASI YANG DIKENDALIKAN OLEH BAGINDA.

1.0              PENGENALAN
                       
“Tiap-Tiap seorang dari kamu adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab kepada orang-orang yang berada di bawah jagaannya. Seorang ketua negara bertanggungjawab ke atas rakyatnya dan akan disoal oleh Allah akan kepimpinannya.”

Berdasarkan hadis di atas, boleh difahami bahawa tahap yang paling minimum, seorang individu bertanggungjawab memimpin bermula dalam diri sendiri, keluarga, masyarakat sehinggalah kepada kepimpinan yang tertinggi di peringkat negara dan dunia. Dalam semua peringkat kepimpinan ini, pemimpin bertanggungjawab penuh terhadap pengikut-pengikut atau orang yang dipimpinnya. Lebih tinggi kedudukan kepimpinan seseorang, lebih tinggilah amanah yang mesti dipikul olehnya. Pemimpinlah sebenarnya yang bertanggungjawab menentukan ke arah mana pengikut-pengikutnya akan dibawa.Pemimpin juga memainkan peranan yang sangat besar dalam sesebuah organisasi. Dia menjadi penyatu kumpulan dan menentukan sesuatu perancangan menjadi lancar atau terbantut.
Di samping itu, selain menjadi penggerak, pemimpin yang baik juga menjadi contoh ikutan yang penting kepada orang bawahan. Ungkapan “ Memimpin Melalui Teladan” membawa maksud pemimpin hendaklah sentiasa baik kerana perlakuannya akan diikuti oleh orang ramai.

2.0       DEFINISI
Menurut kamus Dewan, ketua bermaksud orang yang mengepalai atau memimpin sesuatu pasukan, perkumpulan, pertubuhan, jabatan dan lain-lain.
Kepemimpinan berasal dari kata pemimpin, yang ertinya adalah orang yang berada di depan dan memiliki pengikut, baik orang tersebut menyesatkan atau tidak. Ketika berbicara kepemimpinan maka ia akan berbicara mengenai perihal pemimpin, orang yang memimpin baik itu cara dan konsep, mekanisme pemilihan pemimpin, dan lain sebagainya.
Manakala definisi pemimpin menurut Ahmad Rusli dalam kertas kerjanya Pemimpin Dalam Kepimpinan Pendidikan (1999) Menyatakan pemimpin adalah individu manusia yang diamanahkan memimpin subordinat (pengikutnya) ke arah mencapai matlamat yang ditetapkan.

Pemimpin ialah orang yang menunjuk jalan atau arah untuk menuju ke sesuatu tempat yang sudah ditetapkan. Pemimpin juga berupaya mempengaruhi kegiatan orang lain atau sesuatu kumpulan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

Dalam konteks masyarakat Islam, Nabi Muhammad SAW  ialah contoh ikutan setiap orang Islam dalam semua aspek kehidupan, Baginda menjadi rujukan dan semua orang Islam mencuba seberapa upaya yang boleh untuk mengikut sunahnya.  Seseorang pemimpin mesti mempunyai beberapa kriteria bagi melaksanakan amanah kepimpinannya.

Menurut Husin@Ibrahim Mamat ( 2007 :  68-69 ) pemimpin yang baik perlu mempunyai sifat unggul. Seorang pemimpin yang berjaya selalu mengamalkan beberapa perkara yang boleh mengukuhkan kedudukannya, iaitu :

1-      Bersedia untuk belajar kerana dirinya dirasakan belum sempurna.
2-      Berani memberikan jawapan tegas kepada sesuatu persoalan yang timbul.
3-      Berupaya memudahkan semua kerja terutamanya untuk orang bawahannya.
4-      Mempunyai perhubungan yang baik dengan semua orang.
5-      Pandai membahagikan masa khususnya antara masa bertugas dengan masa di luar tugas.
6-      Tidak mudah berputus asa dan patah semangat dengan pelbagai karenah dan masalah yang dihadapi.






2.0              TANGGUNGJAWAB PEMIMPIN

3.1       Melaksanakan Amanah

Untuk menjadi pemimpin yang bertanggungjawab sifat amanah hendaklah dilaksanakan dan menurut aturan-aturan yang ada dengan sebaik-baiknya dan bertanggungjawab terhadap peraturan yang telah dibuat.  Sikap amanah ini akan melahirkan sikap menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang dengan melaksanakan tuntutan yang terdapat dalam kepercayaan itu. Dengan kata lain, amanah ialah tanggungjawab yang diterima seseorang dan disandarkan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut, tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab ini dilaksanakan dengan sempurna, ia merasa tenteram,  aman,  terselamat dan harmonis. Sikap amanah ini akan menjamin seseorang itu daripada menerima rasuah dan melakukan sesuatu yang melanggar tatasusila.  

“Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya:  Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda “ Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong,  apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianati”
(Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad Ibnu Hambal).

            Amanah ialah menunaikan tanggungjawab bukan sahaja terhenti kepada menyempurnakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya kepada pengikut-pengikutnya, tetapi yang lebih penting dilihat oleh Islam ialah menyempurnakan amanah kepada Allah. Ibn Taimiyyah dalam bukunya Siyasah al-Syar`iyyah (1988) menekankan bahawa kriteria penting dalam melantik seorang pemimpin mengetuai sesuatu jawatan ialah memastikan mereka mempunyai dua sifat penting iaitu quwwah  (keupayaan mentadbir dan mengurus) dan amanah.






3.2       Memelihara karamat al insan ( kemuliaan manusia )
Pemimpin yang berjaya ialah pemimpin yang sentiasa bersikap lembut dan toleransi terhadap orang  bawahannya  dan tidak mencari­-cari kesalahan mereka serta memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki sebarang kesilapan dan kelemahan.
Rasulullah bersabda yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud: "Ya­ Allah,  sesiapa yang menguruskan urusan umat ku lalu dia menyusahkan mereka, maka susahkan lah dia. Manakala sesiapa yang menguruskan urusan umat ku lalu dia memudahkan mereka, maka per mudahkan lah dia".
Seorang pemimpin harus menggauli masyarakatnya agar dapat menikmati kesenangan dan juga memahami kesengsaraan bersama-sama. Tiada jalan pintas dalam mewujudkan hubungan yang akrab yang dapat menimbulkan perasaan saling menghormati dan mempercayai. Salah satu ciri pemimpin yang berwibawa dan cemerlang ialah pemimpin yang sentiasa mengambil tahu dan prihatin masalah­-masalah orang yang dipimpinnya.  Dalam erti kata yang lain, tiada halangan untuk orang awam bertemu dengan pemimpin untuk mengemukakan permasalahan mereka.
Menurut  Roslie  Sidik  ( 2008 )  Pemimpin di galak gauli masyarakat agar tahu susah senang mereka.

3.3       Memakmurkan bumi Allah
                        Seorang Khalifah berperanan untuk mengurus dan mentadbir dan juga berupaya mewujudkan peluang ekonomi dan membangunkan pembangunan negara. Selain itu, pemimpin mesti memastikan rakyat dapat menikmati kesenangan dan kemudahan dan tidak ada jurang ekonomi yang jauh di kalangan rakyat. Jika inflasi wujud pasti keadaan rakyat berada dalam keadaan yang tertekan dan boleh mencetuskan pelbagai gejala sosial yang tidak diingini. Selain itu juga pemimpin mesti berusaha untuk menggerakkan ekonomi negara dan meletakkannya kembali atas landasan pertumbuhan yang sihat serta mapan.
            Memakmurkan bumi Allah dalam erti kata membangunkan ekonomi negara, membangunkan sahsiah penduduknya dan menjaga keharmonian dan kesejahteraan adalah tanggungjawab utama pemimpin. Segala urusan berkaitan pembangunan negara hendaklah dipertimbangkan dari segi kemaslahatan umum, bukannya hanya terhad kepada kelompok atau kumpulan tertentu.  Pengagihan kekayaan negara hendaklah dilakukan secara adil dan saksama dengan memberi hak kepada yang berhak menerimanya dan membuka peluang seluas-luasnya kepada rakyat untuk membina kehidupan di dunia dan tidak melupakan kebaikan di akhirat. Kerana itu perlu disedari bahawa Allah menghalalkan jual beli tetapi mengharamkan riba  (al-Baqarah: 275).  Hasil-hasil bumi yang terdiri dari galian dan tumbuh-tumbuhan perlu dimanfaat untuk kesejahteraan hidup manusia.
            Seperti mana Firman Allah S W T dalam Surah Al A’raf  ayat 56,:
"Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan kepada-Nya."
3.4       Menjalankan al – mar bi al- al ma’ruf al nahy an – al mungkar
Amar Ma’ruf  Nahi mungkar membawa maksud menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar. Menyuruh yang ma’ruf  ialah menyuruh segala perbuatan yang diredai oleh syarak dan akal.  Kewajipan ini hendaklah dilakukan selaras dengan prinsip-prinsip syariat. 
Rasulullah saw bersabda,  “Barang siapa beramar  ma’ruf dan nahi mungkar,  maka dia adalah khalifatullah di bumi dan khalifah kitab-Nya serta khalifah rasul-Nya.’’
Mencegah mungkar pula ialah mencegah segala perbuatan yang buruk dan maksiat yang mesti dijauhi kerana ianya bercanggah dengan syarak dan akal fikiran yang sihat. Tanggungjawab pemimpin melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar berada di atas bahu setiap pemimpin kerana setiap pemimpin akan di soal tentang orang yang dipimpinnya. Melepaskan tanggungjawab melakukan amar ma’ruf nahi mungkar ibarat mengundang bala Allah  ke atas seluruh manusia. Untuk melaksanakan amar ma’ruf  nahi mungkar memerlukan  ilmu, bersifat lemah lembut dan bersabar. Pemimpin yang mengabaikan amar ma’ruf nahi mungkar pasti akan mewujudkan keruntuhan moral masyarakat kerana masyarakat bebas melakukan perkara yang mungkar tanpa ada sekatan.
“Dan suruh lah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegah lah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa mu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).”
4. 0      KRITERIA SEORANG PEMIMPIN
4.1       Hubungan rapat dengan Allah s.w.t
            Sebagai seorang khalifah yang dilantik untuk menerajui sesebuah organisasi sewajarnya wujud satu  hubungan yang baik di antara dirinya dan Khalik iaitu Allah. Akidah yang jitu terhadap Allah akan menjadikan diri seseorang pemimpin itu lebih berwibawa. Untuk mewujudkan hubungan dengan Allah di sini peranan akidah diperlukan.
Menurut Zakaria Stapa (1999 : 2) Akidah merujuk kepada  ‘ ikatan kemas’ atau ‘ simpulan mati ‘ yang melambangkan adanya unsur-unsur makna semacam kekuatan dan keyakinan. Akidah juga menurut Zakaria Stapa merujuk kepada kepercayaan dan keyakinan yang cukup pasti terhadap sesuatu. Kecintaan dan ketakwaan kepada Allah akan melahirkan seorang pemimpin yang mampu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi kerana nilai yang terkandung dalam diri seseorang yang berpegang teguh kepada ajaran Islam akan mampu menjadi benteng dalam mentadbir dan menunaikan tanggungjawabnya sebagai pemimpin.
Seperti mana khutbah yang diucapkan Sayidina Abu Bakar sebaik sahaja dilantik menjadi khalifah” Ikutlah aku selagimana aku taat Allah dan Rasul, Tegurlah aku sekiranya aku berada dijalan yang salah’
            Pemimpin yang adil, takwa dan taat kepada suruhan Allah S.W.T akan melaksanakan hukum-hukum dan syariat Allah serta menjauhi segala larangan-Nya, kerana kelak di akhirat, jika mana-mana pemimpin melanggar amanah Allah dan rakyat jelata, pasti akan dipersoalkan akan peranan dan sumbangan kepada agama Islam, negara dan rakyat. Tugas seorang pemimpin memang berat. Pemimpin perlu memiliki ilmu untuk mengimbangkan antara keperluan duniawi dan ukhrawi, bertugas sebagai pekerja kepada rakyat dan bukannya atas sebarang kepentingan diri tetapi juga untuk mendapatkan keredaan Allah juga.



4.2       Hubungan baik sesama manusia
Pemimpin juga perlu mempunyai hubungan dua hala. Dia bukan sahaja mampu mengutarakan pandangan malahan bersedia untuk  menerima pandangan, idea, mesej orang yang di pimpin nya. Pembentukan karismatik dalam diri pemimpin merupakan daya penarik dalam mewujudkan hubungan baik sesama manusia dan berupaya mempengaruhi orang yang dipimpinnya. Karismatik tidak menjurus kepada fizikal semata-mata tetapi mencangkup kepada keupayaannya dan sifat lahiriah dengan kualiti tertentu. Perhubungan pemimpin dengan pengikut boleh mempengaruhi kelakuan dan keputusan orang yang di bawahannya.

            Menurut Hassan Al Banna (1989 : 12-13 ) tentang tanggungjawab pemimpin supaya melakukan kebaikan serta harus mengadakan musyawarah dengan rakyat dan mengambil pendapat –pendapat yang berfaedah.            Pemimpin yang tulen akan menyayangi orang yang dipimpinnya. Dengan ini dia akan dikasihi dan disayangi oleh orang yang dipimpinnya.

            Seseorang pemimpin perlu mempunyai rasa kepercayaan terhadap orang yang dipimpinnya dalam mengagihkan tugas untuk melicinkan sebarang urusan. Pemimpin yang baik akan memecahkan benteng yang menjadi penghalang antara dirinya dengan orang yang dipimpinnya. Mewujudkan rasa kekeluargaan akan menimbulkan lebih rasa hormat di antara satu sama lain.

4.3       Akhlak mulia

Keperibadian yang mulia sangat penting dan perlu ada pada setiap orang jika ingin hidup harmonis dengan alam sekeliling. Justeru itu, sebagai seorang pemimpin yang diberikan amanah untuk memegang kuasa perlu dan semestinya mempunyai norma-norma yang mulia dengan mengamalkan akhlak mulia kerana sudah pasti pemimpin tersebut akan lebih dihormati dan mewujudkan kesetiaan di kalangan mereka yang dipimpinnya. Jika sebaliknya, pemimpin yang memiliki peribadi yang buruk pasti akan ditolak oleh masyarakat dan menimbulkan kekecohan di kalangan orang yang dipimpinnya.

Menurut Zakaria Stapa (1999 : 39) betapa diri manusia yang merupakan khalifah Allah S.W.T itu mesti diurus dan disempurnakan pembangunan dirinya supaya ia dapat menyumbang ke arah kebaikan dan kesejahteraan sejagat. Ini dikuatkan lagi dengan saranan Prof . Dr Kamal Hasan dan Prof. Dato’ Dr. Wan Hashim Wan Teh ( 1999) merangkum peri penting nilai akhlak mulia untuk melahirkan sebuah masyarakat dan negara madani.

            Rasulullah SAW  SAW bukan sahaja mengamalkan akhlak mulia bahkan menuntut dan menyeru manusia supaya hidup berlandaskan akhlak sepertimana hadis:

 ” Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak”

4.4       Adil

             “ Satu hari pemimpin yang adil lebih baik dari beribadah enam puluh tahun “

Hadis Rasulullah di atas jelas memberi isyarat untuk jadi pemimpin perlu ada sifat adil agar diri pemimpin tidak dipersoalkan oleh Allah tentang kepimpinannya.

    Menurut Husin@Ibrahim Mamat ( 2007 : 178) tentang pemimpin yang adil ialah pemimpin yang bertindak secara saksama dalam semua hal dan tidak suka pada sebarang bentuk kezaliman.

Kepimpinan Rasulullah mengutamakan konsep adil kepada orang yang dipimpinnya melebihi kepentingan dirinya. Dalam sebarang urusan Rasulullah tidak memandang pangkat, darjat, kedudukan dan sebagainya. Hadis riwayat Bukhari maksudnya:

“Sekiranya (anakku) Fatimah mencuri nescaya aku akan memotong tangannya” 

Adil menurut Islam bersesuaian dengan firman Allah S.W.T dalam surah an- Nahl : 90

Mengungkapkan tentang definisi adil iaitu memberi yang hak kepada yang berhak haknya, mengikut kadar masing-masing. Pemimpin yang baik akan memegang prinsip keadilan. Menjaga kepentingan orang yang dipimpinnya melebihi kepentingannya sendiri. Dia lebih suka sama-sama merasai apa yang dirasai oleh orang yang dipimpinnya.



5.0       Contoh operasi yang dikendalikan Rasulullah s.a.w

Rasulullah merupakan contoh ( role model ) yang terbaik untuk di jadikan ikutan sepanjang zaman. Pelbagai peristiwa telah dilakarkan dalam sirah junjungan yang boleh di jadikan iktibar umatnya sepanjang zaman. Rasulullah amat menekan pentingnya menjadi pemimpin yang mengikut lunas-lunas Agama Islam. Jika berpegang teguh dengan ajaran Agama Islam pasti tidak akan sesat dan menyesatkan orang lain. Sistem pemerintahan acuan Allah dan Rasul ( Islam ) tidak mementingkan bentuk atau nama. Pemerintahan akan baik dan menyenangkan semua pihak jika prinsip-prinsip Islam dilaksanakan secara jujur dan sempurna

5.1       Pengurusan dakwah

            Pendekatan dakwah Rasulullah pada peringkat awalnya lebih menjurus kepada kaum keluarganya yang terdekat iaitu bapa saudaranya. Keluarga sepupu dan juga teman-teman yang rapat. hanya beberapa orang sahaja yang memeluk Islam-antaranya Siti Khadijah iaitu isteri baginda serta sahabatnya Abu Bakar. Baginda menyeru mereka supaya beriman kepada Allah dan rasulnya serta meninggalkan ibadat menyembah berhala, Baginda juga mengajak mereka melakukan kebaikan dan kebajikan serta meninggalkan perbuatan yang mungkar seperti judi, minum arak, menipu, merompak, berzina, membunuh anak dan sebagainya. Dakwah yang disampaikan oleh baginda adalah secara lemah-lembut dan penuh hikmah. Rumah al-Arqam dijadikan markas pertama dakwah islamiyah.

Pendekatan Rasulullah dalam menyebarkan Islam di ibaratkan “ menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak”. Bagaimana metode dakwah Rasulullah yang menekan aspek berhemah mampu menarik minat untuk mendekati Islam. Apabila ingin menyampaikan dakwah perlu dimulakan ke atas diri pemimpin barulah mendekati masyarakat.  Atas tujuan itulah selepas menguatkan kedudukan Baginda sebagai ketua negara Madinah  Rasulullah meneruskan dakwah nya dengan menghantar surat kepada Raja-Raja, Penguasa dan Ketua-ketua di luar semenanjung Arab seperti ke Rom, Yaman, Mesir dan sebagainya untuk beriman kepada Allah.



5.2       Peristiwa  penghijrahan ke Madinah

Hijrah Nabi SAW dan para sahabatnya ke Madinah juga memberikan contoh kepada kita betapa yang namanya perjuangan itu memang menuntut pengorbanan, baik pengorbanan harta, jiwa, tenaga, fikiran, waktu dan perasaan. Selain itu, Hijrah memerlukan perancangan, Pengorganisasian dan pengarahan yang teliti. Perancangan Rasulullah di atur dari saat mahu keluar berhijrah sehinggalah menjejakkan kaki di Madinah. Penentangan dakwah Rasulullah yang kian di perhebatkan memerlukan Nabi Muhammad bertindak segera. Lokasi Madinah dipilih kerana adanya satu kerjasama yang erat di antara Nabi Muhammad sebelum berhijrah lagi. Perjanjian yang dilakukan di Aqabah merupakan satu dimensi baru dalam usaha dakwah Islam. Umat Islam di hantar secara beransur-ansur ke Madinah.

Ketelitian dalam mengutarakan arahan dengan bantuan penunjuk jalan, penghapus jejak, tempat persembunyian, penyampai maklumat dan lain-lain lagi telah membuka  satu lembaran tertegak nya kalimah tauhid di bumi Madinah. Pengorbanan dan keikhlasan Nabi Muhammad dan sahabat dalam melaksanakan syariat Allah. Strategi disusun atur dengan adanya bantuan yang melibatkan pengorbanan yang bukan calang-calang dilakukan agar perjalanan hijrah berjalan lancar. 
             
5.3       Pembentukan negara Madinah

            Pembentukan negara Madinah adalah satu sejarah kegemilangan Islam yang telah tercatat dan dengan pemimpin yang baik, satu bangsa boleh menjadi kuat seperti mana yang berjaya Rasulullah lakukan ke atas kaum Aus dan Khazraj yang sering bertelagah mampu membentuk  satu komuniti yang kuat dan teguh mengikut acuan yang dikehendaki oleh Islam. Keprihatinan pemimpin dalam menghubungkan jalinan di antara pemimpin dan orang yang dipimpin akan menjadikan sesebuah keluarga, masyarakat, organisasi atau negara dapat digembleng untuk mencipta kecemerlangan yang ingin dicapai. Pendekatan Rasulullah dengan mempersaudarakan dua kaum yang bertelagah telah menyelesaikan permusuhan yang tercetus sekian lama.            

Nilai ukhuwah di kalangan kaum Muhajirin dan Ansar terpapar jelas dengan pengorbanan kaum Ansar yang sanggup berkorban membantu Muhajirin memulakan kehidupan. Nilai kasih sayang yang tercerna setelah terbentuknya sebuah negara Islam yang berdaulat, dulunya bumi Yathrib sering bergeseran antara Aus dan Khazraj namun wujudnya Madinah telah mengeratkan silaturahim keduanya dan lahirkan kaum yang murah dengan bantuan dan di gelar Ansar. 

Persaudaraan yang indah itu diperkukuhkan lagi oleh Rasulullah dengan di bangunkan sebuah masjid yang dikenali dengan Masjid Nabawi. Masjid ini berfungsi menjadi medan merapatkan ikatan silaturahim dan memperkukuhkan rasa silaturahim. Masjid dimeriahkan lagi dengan di adakan tarbiah dan ta’alim. Pemimpin berperanan menjadi cerminan masyarakat, perancangan perlu diatur dengan teliti dan sistematik agar kepimpinannya berjalan lancar.

            Ini merupakan isyarat dari Rasulullah SAW bahawa perjuangan yang berat dalam menegakkan ajaran Islam mesti diserapkan dengan ukhuwah di kalangan kaum Muslimin.  Bila tidak disokong dengan ukhuwah, meskipun potensi yang dimiliki oleh kaum Muslimin sedemikian besar, tanpa ukhuwah akan membuat kaum Muslimin menjadi tidak bermaya sehingga mudah dipermainkan oleh orang-orang kafir. Tanpa ukhuwah, maka tercetus lah krisis.  Tersenyum lah musuh Islam menanti masa untuk menangguk di air keroh.
                                   
 5.4      Pengurusan konflik keluarga
         
  Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kreatif dalam mendidik isteri. Allah bekalkan kepada kaum lelaki kekuatan akal yang rasional dan tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan. Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga. Suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa. Dalam  hal ini wajarlah baginda diteladani dalam mengetuai keluarga sakinah.
  "Aisyah r.a. pernah menyamakan akhlak Rasulullah SAW dengan Al-Qur’an. Rasulullah  s.a.w memiliki sifat kelembutan sebagaimana sifat-sifat yang lain secara sempurna.
Baginda marah demi kebenaran apabila hal-hal yang haram dilanggar. Kemarahannya bukan tidak berdasarkan atas suatu hal. Kemarahannya dimaksudkan untuk membanteras kebatilan sehingga lenyap. Baginda juga selalu memujuk dan menghiburkan hati para isterinya sehingga menjadi jernih tanpa suatu bebanan.

 Pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah saw apabila isteri-isteri bertanya tentang  isteri Rasulullah yang manakah yang paling Rasulullah sayangi.  Rasulullah tersenyum dan tidak terus menjawabnya. Bahkan baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian. Apabila tiba giliran semua isteri-isteri Baginda dihadiahkan sebentuk cincin menandakan itulah isteri yang Baginda paling sayang tanpa disedari kesemua isteri-isteri Baginda memilikinya. 

Kemusykilan isteri Baginda diselesaikan tanpa menyakiti hati mana-mana pihak. Itulah peranan seorang suami meleraikan kekusutan dalam rumah tangga dengan penuh hikmah dan bijaksana.

6.0       PENUTUP

            Seorang pemimpin hendaklah menjalankan tugas dengan jujur dan amanah, menegakkan kebenaran serta bertanggungjawab memelihara kemuliaan manusia, memakmurkan bumi dan melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar . Kalau dia seorang pemimpin rakyat, maka dia harus turun ke medan menemui rakyat dan menyelesaikan permasalahan mereka. Rakyat hendaklah dilayani dengan adil dan saksama. Seorang pemimpin perlu ada sifat amanah, mewujudkan hubungan baik dan disayangi oleh rakyat atau orang bawahannya. Pemimpin perlu mempunyai nilai dan etika dengan mengamalkan sifat timbang rasa, adil, berakhlak mulia, menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran. Pemimpin itu juga mesti peka bagi menjadi teladan kepada ahlinya dan memperkukuhkan amalan dan budaya kerja cemerlang serta melakukan suruhan Allah dan tidak lupa juga mendoakan orang yang dipimpinnya. Kepimpinan berkait rapat dengan menjalankan tanggungjawab dan memberi hak yang wajar kepada yang berhak menerimanya terutama kepada keluarganya, masyarakat dan negaranya.
           






RUJUKAN / REFERENSI

·         Hassan Al Banna ( 1989 ). terj Abu Ubaidillah, Tanggungjawab Pemimpin Islam, Karya Media Publisher, Kuala  Lumpur

·         Husin@Ibrahim Mamat , 2007, Pemimpin Era Globalisasi, Perpustakaan Negara Kuala Lumpur

·         Imam Ghazali, terj. Abu Laila & Muhamad Tohir, Akhlak seorang Muslim, PT Al Maarif Bandung Indonesia,Victory Agencies, Indonesia

·         JAKIM  , 2005, Islam Hadhari satu penjelasan ,Perpustakaan Negara Malaysia


·         Mariam Abd majid & Zulkefli Aini, OUM, Sirah Nabawiyyah dan Akhlak, 2010

·         Mustafa Masyhur, Jalan Dakwah, (online) available: http://www.scrib.com
Diakses pada 20 Januari 2011

·         Prof. Madya Dr. Zulkiple Abd. Ghani ( 2008 ) kepimpinan Islam ( online ) Available: shuhny.multiply.com/journal. ( 2008, Februari  23 )
Diakses pada 15 Januari 2011

·         Roslie Sidik ( 20081 Oktober ) Kepimpinan Perspektif Melayu. Berita Harian, Kuala Lumpur

·         Weblog Cikgu Jumali, Negara Islam Madinah,  (online) available: http://fastnote.wordpress.com
Diakses pada 01 Februari 2011

·         Zakaria Stapa , 1999, Akidah dan akhlak dalam kehidupan Muslim, ,Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur

sayangkan anak tangan-tangankan

SAJAK UNTUK IBU 3


    Ibu...
   kasih dan sayangmu harum umpama mawar mewangi
   kan ku semat ia kukuh jauh ke dalam sudut kalbuku
   wajahmu yang bercahaya indah berseri
   Sering kudambakan muncul dalam mimpi
    Ibu
   segala nasihat yang kau titipkan buatku
   kan ku semat kukuh di dasar memoriku
   kelembutan dan kelunakan tutur  bicaramu
   Sering menjadi impiab dan dambaanku selalu

    ohh ibu ratu hati ku...
   semoga nurkasih-NYA sentiasa merahmatimu selalu
   terima kasih atas pengorbanan dan jerih perihmu
   Dikaulah  bidadari anugerah terindah dari ILAHI

Sayangkan anak tangan-tangankan

kenangan kak lang

kenangan kak lang